27 tahun rahsiakan identiti, Myra lega isu sudah selesai

27 tahun rahsiakan identiti, Myra lega isu sudah selesai. Anak tunggal pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman kini tidak perlu bersembunyi lagi perihal bapa kandungnya.

Memetik Harian Metro, Myra Natasya Abdullah bersyukur segalanya sudah dapat diselesaikan dan tiada yang perlu dirahsiakan lagi. Baginya, dia sudah mampu mengatur dan merancakkan karier seninya dengan penuh semangat.

Malah, pada tahun ini Myra pulang beraya ke kampung halaman bapanya, Halim di Terengganu bagi meraikan Aidilfitri dan berkenalan dengan sanak-saudara yang belum pernah ditemui di sana.

“Perasaan saya sekarang bebas dan boleh jadi diri sendiri, tak perlu bersembunyi dah. Selama 27 tahun ini, saya mengharungi ujian Allah dengan sabar, ikhlas dan menutup kemas segalanya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan gembira kerana selepas identiti diri didedahkan, banyak sokongan positif diterima daripada ramai orang yang menerima baik kehadiran saya di dalam industri hiburan ini.

“Kini, apabila di lokasi penggambaran rakan artis juga sudah tahu saya adalah anak Halim Othman. Tak perlu sorok-sorok lagi dan saya pun boleh bekerja dengan happy. Terima kasih saya ucapkan kepada semua,” katanya.

Myra atau nama sebenarnya Yusmyra Natasya berkata dia hanya ingin semua orang tahu siapa bapa kandungnya walaupun ‘berbintikan’ Abdullah dan bukan Halim. Katanya, apa yang berlaku sudah takdir hidupnya.

Menurut bekas pengacara Didik TV dan pelakon drama Republik Gombak itu, dia ikhlas dengan semua pendedahan dibuatnya dan bersyukur tindakan itu juga diterima baik oleh bapanya yang berasakan masa tepat sudah tiba untuk berterus terang.

Halim bersyukur dapat beraya dengan Myra tahun ini

Bagi Halim, 56, pula, dia menyifatkan dengan pendedahan dibuat bersama anaknya itu, mereka sudah boleh ‘menutup buku lama’ dan ‘move on’ untuk kehidupan seterusnya. Katanya, dia kini berasa bahagia dan tenang.

“Aidilfitri kali ini adalah yang pertama saya dapat raikan bersama Myra sebagai bapa dan anak. Selama ini, Myra memang beraya dengan keluarga ibunya saja kerana saya biasanya pulang ke kampung sendirian.

“Tapi, sekarang kami berpeluang untuk raya bersama kerana Myra akan ikut saya balik ke kampung di Terengganu selepas beraya bersama ibu dan keluarganya di sini. Saya teruja mahu perkenalkan Myra dengan saudara-mara dan sepupunya di kampung nanti.

“Alhamdulillah, keluarga saya juga menerima berita ini dengan baik kerana perihal perkahwinan saya dulu ada anggota keluarga yang tahu dan ramai juga yang tidak tahu. Namun, saya percayakan inilah masanya untuk mereka mengenali Myra,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro mendedahkan Halim pernah berkahwin di Thailand pada 1994 dan bercerai di sana juga dengan bekas isteri, Yusnita Omar, 47, pada 1998.

Hasil perkongsian hidup bersama yang singkat itu, mereka dikurniakan Myra Natasya pada 1995, tetapi ‘dibintikan Abdullah’ kerana perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia termasuk tidak lagi tinggal sebumbung ketika itu.

Baca Juga: Wanita diraba di dalam bas, pemandu kedua bas ekspres ditahan

Baca Juga: Kerajaan digesa beri subsidi pada petani ekoran kenaikan harga baja di peringkat global