3 anggota polis ditahan didakwa ‘ambil’ RM45,000 ketika buat serbuan

3 anggota polis ditahan susulan dakwaan mengambil RM45,000 wang tunai ketika membuat serbuan di sebuah rumah di Kuala Krai Kelantan.

Pada Rabu lalu anggota polis terbabit melakukan serbuan di rumah berkenaan di mana pemuda 29 tahun ditahan dan turut merampas 1,000 biji pil yaba.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamaad Zaki Harun berkata semua yang bertugas di IPD Kuala Krai itu ditahan jam 9 malam Jumaat lalu di daerah berkenaan.

Penahanan itu dilakukan selepas ibu kepada pemuda terbabit membuat laporan polis keesokannya di Balai Polis Kuala Krai dengan mendakwa pegawai dan dua anggota terbabit turut mengambil wang tunai miliknya berjumlah RM45,000.

“Susulan laporan diterima, pihaknya membuat tangkapan terhadap pegawai dan dua anggota terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dipetik Harian Metro.

Muhamad Zaki berkata, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin jelaskan bahawa serbuan, tangkapan dan rampasan membabitkan pil yaba adalah benar dilakukan oleh pegawai dan anggota, namun disebabkan terdapat laporan mengatakan kehilangan wang terbabit, kita perlu menyiasat secara terperinci.

“Segala dakwaan termasuk kehilangan wang serta dakwaan pegawai dan anggota meminta anak kunci untuk menggeledah almari akan disiasat secara lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak sesekali menyembunyikan kejadian membabitkan pegawai dan anggotanya, sebaliknya siasatan secara telus akan dilakukan.

Baca juga:

Pak Hod mengaku 10 tahun kutip besi buruk, barang buangan bukan tak ada duit, rumah pun ada

Baca juga:

Padah bedah hidung sendiri guna tutorial Youtube, lelaki dikejarkan ke hospital