Asrama lelaki terbakar, 103 pelajar dan warden sempat larikan diri. Kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, dekat Kinabatangan dikatakan berlaku akibat kebakaran membabitkan bilik suis tingkat satu dan dua manakala katil serta tilam simpanan hangus terbakar.
Pelajar dan warden yang terselamat terpaksa menginap di surau sekolah selepas asrama lelaki sekolah itu terbabit dalam kebakaran, hari ini lapor Harian Metro.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi lalu bergegas ke lokasi sejauh 50 kilometer itu bersama tujuh anggota bomba.
“Operasi pemadaman tamat pada jam 3.16 petang. Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nurul Azlan berkata, ketika kejadian pelajar berada di asrama dan mereka segera melarikan diri ke tempat selamat sejurus kebakaran.
Difahamkan, barangan pelajar tidak terjejas namun asrama belum dapat digunakan kerana faktor keselamatan dan tiada bekalan elektrik.
Baca Juga: Larikan barang kemas RM35,000 selepas pura-pura berminat beli emas, lelaki positif dadah ditahan