Bank alami gangguan teknikal, pelajar ambik peluang ‘cucuk’ duit hingga RM188 Juta

Bank komersial terbesar di Ethiopia sedang mempergiatkan usaha untuk mendapatkan kembali sejumlah besar wang yang dikeluarkan oleh orang ramai yang bukan milik mereka, setelah gangguan pada sistem mereka berlaku.

Pada awal Sabtu yang lalu, pelanggan Commercial Bank of Ethiopia (CBE) diberitahu bahawa mereka dapat menarik wang melebihi baki yang ada dalam akaun mereka.

Lebih daripada AS$40 juta (RM188.7 juta) telah dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank lain, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, sebelum Commercial Bank of Ethiopia (CBE) berjaya membekukan semua transaksi tersebut selepas beberapa jam.

“Sebahagian besar wang dikeluarkan oleh pelajar,” kata Presiden CBE, Abe Sano.

Berita mengenai masalah dialami bank terbabit telah dihebahkan oleh pelajar melalui aplikasi pesanan ringkas dan juga panggilan telefon.

Di mesin ATM kampus, barisan panjang mulai terbentuk sementara seorang pelajar di barat Ethiopia memberitahu BBC bahawa orang ramai bersesak-sesak untuk mengeluarkan wang sehingga pegawai polis tiba di kampus untuk mengawal situasi.

Tiga buah universiti telah mengeluarkan kenyataan menasihati pelajar untuk memulangkan wang yang bukan milik mereka malahan mereka tidak akan didakwa atas kesalahan jenayah.

Baca juga: Bercerai selepas 20 tahun, wanita baru tersedar bekas suami rupanya seorang jutawan