CEO McDonald’s tiba-tiba ‘sokong’ Palestin, rupa-rupanya sebab ini

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s (CEO) mengakui bahawa perniagaan francais makanan segera tersebut di Asia Barat terkesan akibat boikot dan protes yang dilakukan atas tuduhan menyokong Israel dalam konflik di Gaza.

Chris Kempczinski menyatakan bahawa penyebaran maklumat palsu telah mendorong ramai menyokong kempen boikot, yang seterusnya memberi kesan negatif kepada perniagaan McDonald’s.

“Ini (boikot) mengecewakan dan tidak berasas. Di setiap tempat kami beroperasi, termasuk negara-negara Islam, McDonald’s diwakili oleh pemilik tempatan yang bekerja tanpa jemu dengan menggaji beribu-ribu warganegara masing-masing.

“Hati kami tetap bersama komuniti dan keluarga yang menerima kesan akibat perang di Asia Barat.

“Kami membenci sebarang bentuk keganasan dan tegas menentang ucapan kebencian. Kami dengan bangga membuka pintu kami kepada semua orang setiap masa,” tambahnya.

Aktivis pro-Palestin mengajak orang ramai untuk memboikot McDonald’s selepas sebuah restoran francaisnya di Israel dilaporkan menyediakan makanan secara percuma kepada ribuan askar Israel pada awal serangan udara dan darat oleh Rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

McDonald’s mengalami penurunan yang ketara di Mesir dengan penjualan yang merosot sebanyak 70 peratus pada bulan Oktober dan November tahun lepas berbanding dengan dua bulan yang sama pada tahun 2022.

Baca juga: Nenek panik! Cucu buang barang kemas yang disangka sampah bernilai RM270,475