Cuba ‘suap’ RM200 dekat polis, buruh ladang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini. Dia dikatakan cuba memberi rasuah kepada seorang anggota polis di Kampung Ayer Puteh, Kemaman, dekat sini, bulan lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Radzali didakwa secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM200 kepada anggota polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Ayer Puteh, Kemaman ketika ditahan pada pukul 4 petang, 12 Julai lalu.
Tertuduh, Radzali Bahari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Bayar untuk elak ujian saringan awal air kencing
Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan supaya tidak ditangkap untuk dijalankan ujian saringan awal air kencing.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh jatuh hukuman dan denda RM10,000 yang mana sekiranya gagal membayar denda tersebut akan dihukum penjara 10 bulan.
Mahkamah turut melucut hak wang rasuah RM200 kepada kerajaan bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanraja Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Baca Juga: 3 anggota polis ditahan didakwa ‘ambil’ RM45,000 ketika buat serbuan
Baca Juga: Elak duit kena ‘telan’, ini rahsia bank yang pengguna perlu tahu