Setiap individu mempunyai pandangan atau prinsip mereka sendiri mengenai makanan, terutamanya berkaitan dengan status halal dan kebersihan.
Khususnya bagi individu Muslim, mereka memang menitikberatkan setiap aspek berkaitan makanan, tidak hanya dalam penyediaan makanan tetapi juga melibatkan peralatan yang digunakan.
Ini kerana kepatuhan kepada prinsip halal adalah sangat penting dalam agama Islam. Oleh itu, pemilihan bahan makanan yang halal, cara penyediaan yang bersih, dan penggunaan peralatan yang tidak tercemar adalah perkara yang sangat diberi perhatian oleh individu Muslim dalam memastikan kepatuhan kepada ajaran agama mereka.
Ada yang masih tertanya-tanya, apakah hukum jika orang Islam menggunakan span yang sama dengan orang bukan Islam untuk mencuci pinggan mangkuk, contohnya ketika berkongsi pantri di pejabat.
Persoalan tersebut dihuraikan dengan tuntas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam tulisannya di laman Maktabahalbakri:
“Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir.
“Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/577).
“Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku.
“Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan, Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya. (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).
“Oleh yang demikian, tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan bagi seseorang Muslim untuk menggunakan span yang sama dengan non-Muslim bagi membasuh perkakas makanan seperti sudu dan garpu kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya,” jelasnya.
Tambahan beliau, selagi tidak ada tanda-tanda atau bukti yang menunjukkan kepada kecemarannya secara jelas, maka bahan tersebut tetap dianggap suci dan boleh digunakan.
“Kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang.
“Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan sebagaimana firman Allah SWT:
“(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran,” terangnya. (Surah al-Baqarah: 185)
Semoga pencerahan tersebut dapat membantu merungkai kekeliruan yang mungkin timbul mengenai perkongsian peralatan antara orang Islam dan orang bukan Islam dalam konteks makanan dan kebersihan.
Baca juga: Kutipan sangat ‘lumayan’, pengemis ini raih RM114,350 setahun buat ramai terkejut