Disangka bungkusan teh cina rupanya ia adalah dadah jenis syabu ditemui selepas pemeriksaan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke atas pasangan suami isteri di perairan Morib.
Pasangan suami isteri itu telah dicekup apabila cubaan untuk menyeludup keluar sejumlah dadah ke Indonesia pada 29 Julai lalu.
Kedua-dua suspek ditahan pada 5.50 petang hasil risikan Maritim Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketika ditahan, pasangan berkenaan dipercayai sedang memindahkan dadah ke bot pancung yang akan menuju ke Indonesia menerusi perairan Morib.
Pemeriksaan awal oleh pasukan operasi menemui sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina berwarna hijau di dalam kenderaan yang digunakan pasangan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kg yang dianggarkan bernilai RM 670,000,” kata Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dan kesemua bungkusan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat.
“APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.
Baca juga:
Cuba seludup minuman keras bernilai RM1.568 juta, siap isytihar sebagai barang dagangan
Baca juga:
Pemuda ini bongkar 7 strategi 99Speedmart yang membuatkan pasaraya besar boleh ‘terciduk’