Kita biasanya sudah diajar dan pandai mengaji sejak dari kecil lagi. Ada segelintir individu yang tidak pandai mengaji sehingga sudah meningkat dewasa.
Perkara ini menimbulkan banyak kesulitan dan individu tersebut mudah merasa rendah diri bila berhadapan dengan orang lain.
Cerita ini dikongsi oleh seorang wanita yang tidak pandai mengaji sejak kecil namun, khidupannya berubah setelah belajar dengan seorang ustazah.
Assalamualaikum. Di sini aku ingin ceritakan kisah aku yang tidak pandai membaca Al-quran. Aku seorang wanita berusia 36 tahun.
Aku memiliki suami dan 3 orang anak. Walaupun aku tidak pandai mengaji, namun aku tidak pernah meninggaIkan solat dan boleh membaca surah-surah serta doa-doa dalam solat, aku juga menutup aurat dengan sempurna.
Semasa zaman kanak-kanak, aku di hantar oleh ibu untuk belajar mengaji dengan jiran. Selepas maghrib, aku akan membawa senaskah al quran untuk mengaji.
Pada waktu itu, kami hanya mengikut apa yang dibaca oleh makcik yang “mengajar” kami membaca al-quran.
Setiap hari aku hanya mengikut bacaan sehingga boleh hafal dan baca sendiri surah-surah itu, namun aku tak pandai untuk mengeja ayat al quran.
Aku juga kerap ponteng untuk pergi mengaji kerana sukar untuk membaca sendiri. Aku hanya mengikut apa yang dibaca, jiran-jiran aku yang lain semua boleh membaca sendiri, tapi aku masih tidak boleh mengeja ayat-ayat tersebut.
Sehinggalah aku meningkat remaja. Bila aku mula baligh, aku semakin malas untuk ke rumah makcik yang mengajar mengaji.
Akhirnya aku berjaya ke universiti, di universiti, aku lihat ramai pelajar yang bawak tafsir al-quran dan membacanya ketika menunggu bas atau ketika di cafe, aku rasa sangat malu dengan diri sendiri.
Ketika ini tiada siapa pun yang tahu bahawa aku tidak pandai membaca al quran. Sehinggalah suatu hari, aku tersalah masuk ke group usrah, aku diperkenalkan sebagai ahli baru, dan sebagai penghormatan kepada ahli baru.
Aku diminta untuk membaca satu muka surat ayat alquran. Aku mengambil kitab suci tersebut dengan gementar membaca bismilah dengan yakin, seterusnya aku terus membaca maksud ayat tersebut yang ditulis dengan huruf rumi.
Mujur lah tiada yang memaksa aku membaca surah tersebut. Selepas kejadian itu, aku membuat pengakuan kepada seorang sahabat aku yang merupakan ahli usrah itu, aku minta dia ajarkan aku Al quran, namun dia memberikan alasan yang dia tidak pandai mengajar.
Jadi aku teruskan hidup seperti biasa sebagai seorang pelajar universiti yang buta al quran. Selepas tamat universiti, aku telah berkahwin dengan kawan semasa zaman persekolahan aku, awal-awal lagi, aku berterus terang dengan nya mengenai kelemahan aku yang tidak pandai mengaji.
Dia kata dia tidak kisah. Untuk pengetahuan semua, suami aku pandai mengaji dan rajin ke masjid. Selepas berkahwin dan bekerja, aku sangat-sangat takut apabila tempat kerja atau jiran-jiran mengajak aku menyertai acara bacaan yassin atau tadarus al-quran.
Aku bekerja sebagai pendidik, jadi semua orang menjangkakan aku pandai mengaji. Setiap kali bulan ramadhan, aku akan mencari alasan untuk tidak terlibat dengan tadarus dan setiap kali acara bacaan yassin diadakan, aku hanya mengikut bacaan orang ramai.
Namun, setiap kali mengandung, aku tidak putvs berzikir untuk menggantikan “kegagalan aku” untuk mengaji.
Aku berusaha untuk belajar mengaji dengan suami, namun, kekangan masa, dan sikap aku yang cepat terasa apabila ditegur suami menyebabkan aku masih gagal untuk membaca Al quran.
Sehinggalah umur aku hampir menginjak ke 30 tahun, aku rasa tidak sempurna hidup aku jika aku tidak mampu membaca al-quran.
Aku membeli alquran digital, aku belajar sendiri, aku tulis setiap huruf, aku tampal di dinding, alif ba ta, konon untuk anak-anak tengok, namun, hati dan minda aku sangat-sangat kelam, aku masih gagal membaca dengan betul.
Setiap malam aku bangun dan solat hajat, aku menangis sesungguh hati, meminta bantuan dari Allah. Ya Allah aku mahu belajar al quran, aku mahu membaca al- quran, izinkan aku Ya Allah. Aku menangis seperti anak kecil yang merayu meminta simpati.
Akhirnya ketika anak sulung aku berusia 6 tahun, aku mencari guru al quran buat anak-anak aku, aku bertemu dengan seorang gadis remaja lulusan sekolah pondok yang bekerja sebagai guru mengaji.
Dia akan datang ke rumah-rumah orang untuk mengajar, pada mulanya aku membayar upah untuk mengajar anak-anak aku seramai 3 orang.
Kemudian, aku meminta izin untuk menambah pelajar. Pada mulanya aku suka berborak-borak dengan ustazah muda ini, bila dah serasi, aku meminta ustazah mengajar aku mengaji.
Bila ustazah tanya, akak nak baca dari surah apa, aku kata, dari alif. Ya, aku bermula dari alif baa, taa.
Setiap hari ustazah muda ini akan datang ke rumah dan mengajarkan aku Al-quran, suami aku memberikan sokongan dengan membayar yuran bulanan kepada ustazah.
Ustazah muda ini sangat memahami situasi aku, dan aku boleh menerima cara teguran bersahaja nya.
Kini alhamdulilah, aku sudah mampu membaca al-quran, dan tidak pernah meninggaIkan al quran. Surah al waqiah dan surah al mulk menjadi surah kegemaran aku. Aku dan anak-anak bergilir-gilir mengaji bersama-sama ustazah muda setiap malam.
Jika ustazah tidak dapat hadir, kami akan tetap mengaji secara online. Itu sahaja secebis kisah tentang hidupku yang tidak tahu membaca, kini sudah tahu membaca. Alhamdulillah. – Pelajar (Bukan nama sebenar)
Baca juga: Tak selamat digunakan, trend guna akuarium ganti balang air buat netizen khuatir