Dewan Rakyat masih belum menerima notis daripada Bersatu mengenai status keahlian enam Ahli Parlimen parti tersebut yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas pindaan perlembagaan parti itu diluluskan baru-baru ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, mengesahkan bahawa kedudukan enam wakil rakyat tersebut masih kekal sebagai Ahli Parlimen.
“Selagi ia tidak melibatkan Parlimen, saya tidak akan terlibat dan ambil pusing sebab itu isu politik, isu pentadbiran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), hinggalah mereka selesai masalah mereka dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat.
“Sekarang ini tidak ada apa-apa berlaku lagi, notis apa pun tak terima, satu surat dan e-mel pun tak ada. Saya anggap tak ada apa-apa berlaku selagi benda itu tidak datang ke meja saya, itu hak mereka,” katanya.
Pada 2 April lepas, media melaporkan bahawa RoS telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membenarkan parti tersebut membuang anggota mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada pihak lawan.
Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Baca juga: Dakwaan Forest City lulus pusat kasino tuduhan liar, ini amaran MB Johor