Seorang lelaki di Merawang, wilayah Kepulauan Bangka Belitung, telah ditangkap oleh penduduk tempatan ketika mencuri wang dari tabung masjid sambil membawa anak dan isterinya bersama.
Ketika kejadian berlaku, Robby Sugara sedang mencuri wang dari tabung amal Masjid Kampung Pagarawan, dan tindakannya tersebut dirakam oleh sistem kamera televisyen litar tertutup (CCTV).
Dia kemudiannya mengaku tidak mempunyai pekerjaan selepas diberhentikan oleh majikannya.
Ketika ditanya oleh polis, Robby mengakui bahawa dia pernah melakukan perbuatan serupa di beberapa masjid lain di Tempilang, Belinyu, Sungailiat, dan Merawang.
“Kadang kala, isinya (tabung masjid) adalah 300,000 rupiah (RM91) atau 200,000 rupiah (RM60.81). Namun, ada masanya hanya 100,000 rupiah (RM30.40) atau kurang daripada itu,” ujar Robby.
Sementara itu, Ketua Polis Merawang, Inspektor Teguh Widodo mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, Robby serta isteri dan anaknya kini berada di balai polis.
“Benar, kami mendapat laporan daripada penduduk mengenai kes kecurian tabung Masjid Pagarawan. Pasangan suami isteri dan seorang anak itu ditahan di Balai Polis Merawang,” katanya.