“Nak saya minta maaf? Teruskan bermimpi..” – Dr Akmal

Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk menjadikan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terus mengundang kemarahan UMNO.

Ini termasuklah daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang enggan melayan gesaan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mahu beliau memohon maaf terhadap Nga Kor Ming.

Sebaliknya, Dr Akmal yang juga Exco kerajaan Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menyifatkan gesaan pemimpin DAP berkenaan tidak akan berlaku.

“Sendiri keluar kenyataan, lepas tu kena bantah, then (kemudian) kononnya menjadi mangsa keadaan.

“Nak saya minta maaf? Teruskan bermimpi kerana itu tidak akan terjadi!,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Yu Hui menggesa Dr Akmal membuat permohonan maaf terhadap Kor Ming susulan yang turut menyentuh Perlembagaan Persekutuan apabila mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, turut mengulangi amaran supaya tidak menyentuh perkara sensitif khususnya berkaitan aspek agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Nga Kor Ming

“Sekali lagi saya ulang, jika sesiapa yang sentuh perkara yang sensitif terhadap orang Melayu dan Bumiputera, kami tidak akan teragak-agak untuk menentang sekeras-kerasnya tidak kira siapa anda,” tegas Dr Akmal lagi.

Kor Ming sebelum ini mencadangkan kampung baharu Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Bahkan, sejak Jun tahun lalu lagi, dia juga mahu mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

BACA JUGA Akibat parodi undang-undang Islam dah mansuh, ‘influencer’ ini bakal disiasat polis dan diheret ke mahkamah