Durian runtuh! Nelayan jadi jutawan sekelip mata, dapat tangkap ikan bernilai RM1.14 Juta

Seorang nelayan di bandar Karachi, Pakistan, menjadi kaya raya dengan cepat setelah melelong ‘ikan emas’ yang dipercayai memiliki pelbagai manfaat perubatan.

Portal NDTV melaporkan bahawa Haji Baloch tinggal di perkampungan nelayan yang miskin, Ibrahim Hyderi.

Ketika mereka turun laut mencari rezeki di Laut Arab pada Isnin yang lalu, Haji Baloch dan anak kapalnya berjaya menangkap ikan yang dikenali sebagai ‘ikan emas’ atau Sowa dalam dialek tempatan.

“Kami sedang memancing di perairan Karachi… apabila kami terjumpa ‘ikan emas’ yang besar ini, dan ia adalah rezeki yang tidak terkira bagi kami,” katanya.

“Keseluruhan hasil tangkapan itu dijual dengan harga kira-kira 70 juta rupee Pakistan (kira-kira RM1.14 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat selepas hasil tangkapan itu dilelong,” kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.

Haji Baloch juga menyatakan akan berkongsi wang keseluruhan bersama 7 anak kapalnya yang lain.

Ikan Sowa dianggap sangat berharga dan jarang dapat ditangkap. Bahan yang terdapat di perutnya dipercayai memiliki sifat penyembuhan dan kegunaan perubatan yang luar biasa. Malah, benang yang diperoleh daripada ikan tersebut turut digunakan dalam prosedur pembedahan moden.

“Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan,” kata Baloch.

Baca juga: Ambil masa 3-4 minit sebelum berbuka, rupanya antara waktu mustajab berdoa