Fattah elak adegan bersentuhan ketika berlakon setelah bergelar suami dan bapa. Pelakon Fattah Amin lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran berlakon jika ada adegan bersentuhan.
Fattah mengakui kurang selesa membawakan adegan bersentuhan, dia juga akan berbincang terlebih dahulu bersama pengarah sebelum menjalani penggambaran.
“Rasanya semua sedia maklum. saya sendiri kurang selesa sekiranya membawakan adegan bersentuhan. Sebelum berumah tangga lagi, saya sendiri kurang selesa bersentuhan.
“Sekiranya boleh elak, lebih baik saya cuba untuk tidak bersentuhan. Jika perlu, lazimnya babak berpegangan tangan itu berlapik,” katanya.
Berkongsikan mengenai perkembangan terbarunya, Fattah berkata dia bakal muncul dengan drama terbaru bulan depan berjudul, Khilaf Asmara dengan membawa watak jahat.
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk dia membawa watak baru serta mahu keluar dari kebiasaan.
“Buat pertama kalinya, saya membawakan watak jahat dalam. Saya tidak mahu dicop sering membawakan watak yang sama saja. Oleh itu, saya keluar dari kepompong selesa dan mencabar diri melakonkan sesuatu yang berbeza,” katanya.