Gigih ubah suai Kelisa jadi Daihatsu, dah kena saman polis. Tindakan seorang lelaki mengubah suai identiti kereta Perodua Kelisa kepada Daihatsu mengundang padah apabila dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam Op Pengarah JPJ Perak di Jalan Sultan Idris Shah dekat sini semalam, pemilik kenderaan berusia lingkungan 30-an itu turut diberi notis arah periksa atas kesalahan tersebut.
Lelaki itu juga diarahkan untuk menukar kembali identiti asal kenderaannya bagi mengelak dikeluarkan notis ingkar arah periksa kenderaan.
Memetik Utusan, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebuah kereta Perodua Myvi turut disita dalam operasi bermula pukul 8 malam atas kesalahan gagal memperbaharui cukai jalan sejak dua tahun lalu.
Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 121 buah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan hasil daripada pemeriksaan 312 buah kenderaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 205 notis dikeluarkan membabitkan P22 iaitu notis arah periksa dengan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 142 notis.
“Selain itu, sebanyak 23 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan dan 40 notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, dalam operasi sama, tiga individu ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Katanya, 10 saman turut dikeluarkan oleh polis atas pelbagai kesalahan trafik manakala tiada tangkapan dilakukan oleh Jabatan Imigresen.
“Operasi selama dua jam itu juga menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.
“Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap,” katanya, memetik Utusan.
Operasi bersepadu itu disertai 87 pegawai dan anggota JPJ termasuk polis, AADK dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak.
Baca Juga: Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah
Baca Juga: Ada masalah ginjal? Doktor ini kongsi tiga minuman ajaib, cubalah!