Gugup sangat sampai sebut nama bapa mentua sahaja semasa akad nikah. Pengantin lelaki, Dandi Ardianto menyebut nama bapa bakal isterinya, Ngatmin Wingnyo semasa menerima lafaz akad nikah dan bukan nama pengantin perempuan, Sri Hartini.
Detik akad nikah di Desa Kalangan Mulur, Sukoharjo, Jawa Tengah yang kucar-kacir menjadi tular apabila pengantin lelaki secara tidak sengaja menyebut nama bapa mentuanya semasa ijab kabul kerana terlalu gementar, lapor laman Wolipop.
“Saya terima nikahnya Ngatmin Wingnyo dengan mas kahwin 5 juta rupiah (RM1,477) dan barangan kemas 10 gram,” kata Dandi sebelum terdiam sendiri dan tertawa kerana menyedari tersilap sebut nama bapa mentuanya.
Semua yang hadir di majlis perkahwinan itu turut ketawa kerana kesilapan pengantin lelaki.
Video akad nikah itu mendapat lebih 1.2 juta tontonan dengan ramai netizen ketawa melihat pengantin lelaki tersilap sebut nama bapa mentua dan bukannya isteri.
Pengantin perempuan, Sri Hartini memberitahu dia tidak menyangka video akad nikahnya akan menjadi tular dengan pantas.
“Perkara tersebut berlaku tanpa dirancang tetapi menjadikan momen majlis perkahwinan saya lebih mudah dikenang,” ujarnya. – Agensi
Baca Juga: Krisis ekonomi semakin teruk, Doktor pilih untuk berbasikal ke tempat kerja
Baca Juga: ‘Mat Saleh’ ini takjub lihat anak Melayu menggeluncur hampir 20 meter tanpa cedera