Ini rupanya punca restoran berputar Menara KL diarahkan tutup

Hasrat nak ‘healing’ sambil makan di restoran tidak kesampaian memandangkan restoran Atmosphere 360 ditutup dan dikehendaki mengosongkan premis.

Restoran berputar Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur yang terletak pada ketinggian 282 meter diarah menghentikan operasi sejak semalam susulan perintah pengosongan premis.

Jurucakap restoran itu mengesahkan pihaknya diberi masa selama dua minggu sehingga 4 Januari depan untuk mengosongkan premis mengikut perintah terbabit oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam bela Menara KL yang dimiliki Hydroshoppe Sdn Bhd memaklumkan mengenai perintah berkenaan yang dikeluarkan mahkamah.

Bailif Mahkamah Tinggi muncul di restoran kami pagi semalam dan mengarahkan restoran ditutup, dan ketika itu terdapat ramai pelanggan yang sedang menjamu selera,” katanya.

Pada 5 April lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd dan seorang pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ia bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbabit dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe Sdn Bhd melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.

Baca juga: Katerer tak muncul, duit habis RM13,000 akhirnya saudara mara dikerah ‘setup’ dewan serta makanan