Hilang masa cari daun kelapa sawit, wanita tua ditemui selamat dengan secekak lidi sudah siap diraut

Selepas lima hari usaha mencari dan menyelamat dilakukan, seorang wanita warga emas yang dilaporkan keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi, ditemui dalam keadaan selamat.

Dia ditemui hanya kira-kira 1.4 kilometer dari rumahnya dengan disisinya ada secekak lidi daun kelapa sawit yang sudah siap diraut.

Painah Siwan,79, dijumpai pada pukul 11.25 pagi tadi berhampiran dengan lopak air.

Turut ditemui bersama wanita tua berkenaan adalah sepasang selipar yang digunakannya, maklum Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah.

“Wanita itu kemudiannya di rujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan kesihatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, melahirkan rasa syukur dengan penemuan ibunya itu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang tempoh pencarian.

Katanya, keyakinan ibunya akan ditemui dalam keadaan selamat serta doa yang tidak putus-putus daripada anak-anak serta penduduk kampung akhirnya termakbul.

“Syukur alhamdulilah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari dan yang paling penting ibu dalam keadaan selamat,” katanya.

Baca juga: Perubahan iklim adalah kesan bencana kepupusan besar-besaran