Ibu tergamak jual anak sendiri dengan harga RM15,000 untuk bayar kos bedah hidung. Seorang ibu tidak berperikemanusiaan di Rusia didakwa atas kesalahan menjual bayi lelakinya yang hanya berusia lima hari atas alasan mahu bernafas dengan lebih elok menggunakan hidung baru.
Mirror UK melaporkan, wanita berusia 33 tahun itu dari Kaspiysk, Dagestan, selatan Rusia yang tidak didedahkan namanya dipercayai menjual anak kandungnya itu dengan harga 2,900 pound sterling (kira-kira RM15,301).
Tidak mahu jaga bayi sendiri, jiran bantu cari pasangan untuk beli bayi
Dia didakwa memberitahu rakan bahawa enggan menyimpan bayinya yang baru lahir.
Seorang jiran dilaporkan membantu menguruskan pasangan untuk membeli anak itu, lima hari selepas bayi berkenaan dilahirkan pada 25 April lalu.
Wanita itu menyerahkan bayi lelakinya untuk mendapatkan deposit sebanyak 274 pound sterling (kira-kira RM1,446).
Bukan setakat itu, wanita terbabit turut meminta bayaran 1,370 pound sterling (kira-kira RM7,228) sebagai syarat kepada ibu bapa angkat anaknya untuk meminta sijil kelahiran ketika bayinya memerlukan rawatan perubatan.
Wanita berkenaan memberitahu pasangan yang membeli bayinya bahawa dia tidak mempunyai pekerjaan, tempat tinggal atau wang langsung.
Dia juga memaklumkan pasangan itu mengenai hasratnya menggunakan wang hasil jualan bayinya membiayai kos pembedahan hidung dengan alasan mahu mendapatkan pernafasan lebih baik.
Belum sempat menerima baki wang, polis menahan wanita dan pasangannya atas tuduhan memperdagangkan manusia.
Baca Juga: Krisis ekonomi semakin teruk, Doktor pilih untuk berbasikal ke tempat kerja
Baca Juga: Tidak perlu tukar ibadah korban kepada biasiswa, Islam masih ada wakaf, zakat dan sedekah