Sepasang suami isteri di China menarik perhatian netizen selepas tular mengikat anaknya yang nakal di tiang sebuah restoran.
Pasangan yang dari wilayah Zhejiang tersebut cuba mendisiplinkan anaknya yang berlari-lari di dalam restoran barbeku itu ketika mereka sedang menjamu selera.
Selepas mengikat anaknya di tiang menggunakan pita pelekat, ibu bapa tersebut merakam gelagat anak mereka yang cuba meloloskan diri dari ikatan itu.
Seorang pengguna media sosial merakam perbuatan tersebut pada 19 Ogos lalu.
Namun, kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut dilihat kembali menjamu selera di dalam restoran terbabit selepas mengikat anaknya.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen dengan ada yang bersetuju dengan tindakan tersebut serta sebaliknya.
“Budak lelaki itu akan mendapat pengajaran dan akan berkelakuan baik pada masa hadapan,” kata seorang pengguna.
“Saya mahu tahu adakah tindakan itu memudaratkan anak mereka. Saya langsung tidak berasa ia kelakar,” kata netizen lain.