Ini rupanya cara METMalaysia buat proses pembenihan awan, mesti ramai taktahu kan..

Seperti yang kita semua sedia maklum, beberapa kawasan di Malaysia kini sedang berhadapan dengan cuaca panas sejak beberapa minggu yang lalu.

Apabila musim panas atau kemarau tiba, sering kali kita mendengar tentang operasi pembenihan awan (OPA). Tujuan utama operasi ini adalah untuk merangsang pembentukan hujan dan memberi kelegaan kepada kepanasan yang dialami.

Proses pembenihan awan biasanya dilakukan secara berulang dan berterusan sehingga hujan berhasil terbentuk. Di Malaysia, Operasi Pembenihan Awan (OPA) biasanya dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Namun pasti ramai tertanya-tanya bagaimana METMalaysia melakukan proses ini bukan?

Bagaimana proses Operasi Pembenihan Awan ini dilaksanakan?

Menurut METMalaysia, operasi ini dilakukan menggunakan dua kaedah iaitu ‘pembenihan basah’ dan ‘pembenihan kering’.

Selain itu, METMalaysia juga menyenaraikan enam langkah yang dilakukan semasa pelaksanaan OPA.

Langkah pertama bermula dengan merancang OPA berdasarkan keperluan untuk menangani masalah kekurangan bekalan air, terutamanya untuk sektor pertanian.

Bukan itu sahaja, OPA juga dilaksanakan untuk menghasilkan bekalan air untuk kegunaan domestik dan industri, serta untuk mengurangkan kesan jerebu.

Selepas itu, sebanyak 200 kilogram larutan garam (natrium klorida) akan dicampurkan dengan 1,500 liter air dan dimuatkan ke dalam satu tangki. Menurut METMalaysia, satu sesi OPA memerlukan empat tangki campuran seumpama ini disediakan.

Dalam langkah keempat, kesemua tangki tersebut dimuatkan ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia. Pesawat kemudian akan berlepas menuju kawasan awan yang dipilih, yang biasanya terletak pada ketinggian antara 1,500 hingga 2,000 meter dari permukaan bumi.

Kemudian, METMalaysia akan melakukan pengesanan lokasi awan Kumulus Menara lalu proses penyemburan larutan garam akan dimulakan di kawasan tersebut.

Proses itu bertujuan untuk merangsang pembentukan titisan awan sehingga beratnya mencukupi untuk turun sebagai hujan.

METMalaysia turut memberitahu hujan biasanya akan turun dalam masa 30-60 minit selepas pembenihan awan ini dilakukan.

Baca juga: “Tengok bf kerja bawak lori, terus aku slow slow mintak break sebab taknak hidup susah”