Kak Long 7e perlu minta maaf, buat kerja amal sebab persendakan OKU

Gara-gara mempersendakan golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan meniru aksi senget-senget mulut ketika live di Facebook, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan agar Kaklong 7E atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura didenda melakukan kerja amal.

Senator Ras Adiba yang juga merupakan Presiden OKU Sentral menuntut permohonan maaf daripada Kak Long 7E.

Tegasnya, berlakon sebagai OKU bukan modal untuk membuat kandungan dan menjadi terkenal di media sosial.

Beliau juga menyeru semua persatuan dan pertubuhan OKU untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan supaya tindakan dapat diambil mengikut lunas undang-undang.

“Kami OKU amat kecewa dan marah dengan tindakan sesetengah individu yang sentiasa melakukan perbuatan seperti ini.

“Saya menyeru agar individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka serta melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran kepada beliau dan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau menegaskan bahawa ramai lupa bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengklasifikasikan perbuatan memalukan fizikal seseorang secara lisan mahupun di alam maya sebagai jenayah di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Saya memohon kerajaan untuk meminda Akta 588 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan memasukkan hukuman lebih berat supaya tindakan mengaibkan orang khususnya OKU tidak dilakukan.

“Kita perlu pastikan bahawa (golongan OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya lagi.

Pada Isnin, viral video Kak Long melakonkan gaya tempang dan herot. Tindakan itu telah membuatkan warganet marah dan difahamkan ada golongan OKU yang sudah membuat laporan polis kerana rasa terhina.

Sebelum ini, Kak Long pernah mengamuk di kedai serbaneka gara-gara berang apabila anak lelakinya dituduh mencuri oleh seorang pekerja. Bagaimanapun, permohonan maaf sudah dibuat dan dia akui menyesal kerana sudah bertindak keterlaluan.

Baca juga: https://themalaysialife.com/tidak-hadir-mahkamah-dua-kali-liyana-diburu-polis/

Baca juga: https://malaysiadateline.com/middle-ground-politik-malaysia-perlu-kuat-untuk-membetulkan-hala-tuju-negara/