Keluarga diusir selepas selamatkan bayi yang dibuang anak sendiri

  • Post author:

Keluarga diusir selepas selamatkan bayi yang dibuang anak sendiri. Mereka dihalau penduduk setempat kerana salah seorang daripada anaknya melahirkan bayi luar nikah. 

Malah, bayi itu sempat dibuang oleh ibunya yang merupakan pelajar selepas dilahirkan di Kali Ciliwung, Jakarta Timur pada 1 Jun lalu.

Polis Jakarta Timur sudah pun menahan suspek yang berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Susulan kejadian itu, penghuni di rumah pangsa Jatinegara menggesa supaya keluarga suspek diusir kerana menganggap mereka melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

Penduduk anggap lahir dan buang bayi adalah tidak bermoral

Ketua Jabatan Perumahan Rakyat dan Kawasan Pemukiman Jakarta, Dwiyanti Chotifah berkata, beliau menerima banyak gesaan daripada penghuni di rumah pangsa berkenaan supaya segera mengusir keluarga suspek sejak pertengahan bulan lalu.

“Kebanyakan penghuni menyifatkan perbuatan yang dilakukan suspek kerana melahirkan anak di tandas dan kemudian membuang bayinya adalah sangat tidak berperikemanusiaan.

“Kemarahan penghuni rumah pangsa itu memuncak apabila keluarga suspek turut menjaga bayi itu yang disifatkannya sebagai tidak wajar dan memalukan,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Sehubungan itu, pihak jabatan sudah mengeluarkan notis kepada keluarga tersebut supaya mengosongkan rumah mereka sebelum 15 Julai dan perlu menyewa di rumah lain.

Bapa luah rasa kecewa dek kerana kesalahan anaknya, mereka sekeluarga turut kena tempias

Dalam pada itu, bapa suspek, Arman, 50, menzahirkan rasa kecewa kerana dia dan keluarga terpaksa berpindah hanya disebabkan oleh kes yang dilakukan anaknya.

“Bayi ini adalah cucu saya, dia tidak bersalah dan yang bersalah itu adalah ibunya, jadi, kenapa kami perlu dihukum?

“Masyarakat seharusnya mencari penyelesaian, bukannya menghalau kami seperti anjing kurap. Saya sungguh sedih dengan sikap jiran sekeliling yang pandang serong terhadap cucu kami.

“Saya tahu anak saya bersalah, tapi tolong jangan hina cucu kami yang tidak berdosa ini dan menjadi tanggungjawab kami untuk menjaganya,” luah Arman.

Baca Juga: Kedai makan pemilik wanita yang tular dipeluk lelaki akan disiasat JHEAT

Baca Juga: PAC selesai panggil MB Johor jadi saksi isu tukar tanah kementerian pertahanan