Kematian cikgu pendidikan moral cetus persoalan, dibawa tiga lelaki misteri ke hospital

  • Post author:

Kematian cikgu pendidikan moral cetus persoalan, dibawa tiga lelaki misteri ke hospital. Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

Kematian guru yang berusia 54 tahun itu masih menjadi persoalan sama ada dia adalah mangsa jenayah atau sebaliknya, lebih menimbulkan keraguan apabila dia dibawa ke hospital oleh tiga lelaki pada jam 9.15 malam, hari Rabu.

Menurut sumber, isteri mangsa membuat laporan mengenai kejadian terbabit selepas tiga lelaki tidak dikenali membawa suaminya pulang dalam keadaan parah ke rumah mereka di Lunas.

Dakwa mangsa terlibat dalam kemalangan

“Difahamkan, tiga lelaki itu mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah kononnya akibat kemalangan di Penang Road, Pulau Pinang.

“Melihatkan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, wanita terbabit meminta tiga lelaki berkenaan menghantar suaminya ke hospital,” katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa patah tengkuk dan dia terpaksa dirawat dengan alat bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia jam 10 pagi hari ini dan punca kematiannya hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan.

“Tiga lelaki yang menghantarnya ke hospital pula terus beredar dan pemeriksaan awal turut mendapati mangsa mengalami kesan lebam di mata dan luka di beberapa bahagian anggota badan,” katanya.

Mangsa sebenarnya ditarik keluar dari sebuah restoran

Sumber berkata, setakat ini polis masih menjejaki tiga lelaki terbabit dan hasil penelitian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ditarik keluar ketika dia berada di sebuah restoran di Pulau Pinang.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut sama ada kematiannya akibat perbuatan jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa,” katanya ringkas ketika Harian Metro menghubungi melalui kiriman WhatsApp.

Baca Juga: Lelaki terpaksa bunuh anak sendiri selepas diserang guna parang

Baca Juga: ‘Rumah banjir’ pun dijual RM280,000, orang ramai persoal harga tak masuk akal