Kepala masuk lubang tandas gara-gara nak selamatkan telefon bimbit. Wanita menanggung malu apabila terjatuh ke dalam lubang tandas dan terpaksa diselamatkan bomba.
Wanita itu yang dirahsiakan namanya dikatakan berada di kawasan puncak Gunung Walker di Hutan Nasional Olimpik, barat laut Seattle ketika kejadian itu yang berlaku berhampiran tempat letak kereta.
Dia dikatakan sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika alat telekomunikasi terbabit jatuh dalam lubang tandas jenis kekubah, yang takungannya dibina ke dalam tanah dan tidak mempunyai ‘flush’.
Menurut Harian Metro, Ketua Jabatan Bomba Brinnon Tim Manlu berkata, wanita yang berusia 40-an itu menanggalkan tempat duduk tandas dan menggunakan anjingnya untuk mencari telefon itu.
Selepas tidak berjaya mencarinya menggunakan anjing, dia kemudian mengikat dirinya pada struktur tandas sebelum menyeluk tangannya ke dalam lubang.
Sudahlah telefon tidak dapat diselamatkan, kini dia pula terjatuh dengan kepala memasuki lubang tandas.
“Wanita itu berusaha keluar selama 10 ke 15 minit tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi 911 untuk bantuan selepas menemui telefon bimbitnya,” katanya.
Menurutnya, wanita itu tidak cedera dan dibersihkan sebelum anggota menyarankan dia supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana terdedah dengan najis manusia.
“Saya sudah berkhidmat selama 40 tahun dan ini lah kejadian pertama berlaku,” katanya.
Baca Juga: Anda boleh buat kerja di kafe ini, tapi tak boleh keluar selagi tak siap
Baca Juga: Musibah kebakaran di Kota Bharu, kerajaan wajib bertanggungjawab