Kereta Tesla terbakar sukar dipadam, bomba perlukan 36,000 gelen air

Kereta Tesla terbakar sukar dipadam menyebabkan bomba perlukan 36,000 gelen air. Anggota bomba perlukan air bagi memadam api yang membakar sebuah kenderaan Tesla di tepi lebuh raya Alabama, Amerika Syarikat (US) pada Krismas.

Dua gelung hos pemadam telah digunakan dan disebabkan oleh pelepasan haba bateri kenderaan, kebakaran ini memerlukan lebih 36,000 gelen air untuk memadamkan api dalam masa lebih kurang sejam.

Asap dari kereta elektrik yang terbakar ini menghasilkan gas hidrogen flourida dan hidrogen klorida di mana kedua-duanya adalah toksik kepada pernafasan dan memerlukan anggota bomba memakai alat pernafasan.

Jabatan Bomba Pine di US berkata dalam kejadian kira-kira 11.14 malam itu Tesla Model Y tersebut mengalami kebakaran yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Menurut bomba, bateri litium-ion dalam Tesla Model Y sepenuhnya elektrik mengalami “thermal runaway”.

Ia adalah satu tindak balas berantai yang menyebabkan pelepasan tenaga dan membawa kepada peningkatan suhu yang tidak terkawal.

Semasa kejadian, Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama menutup antara negeri sementara api sedang dipadamkan.

Bagaimanapun, bomba berkata tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu tersebut sempat melarikan diri sebelum bomba tiba.

Bomba tersebut turut mengatakan kes tersebut adalah kes pertama yang berlaku di Daerah Autauga dan kebiasaannya kebakaran melibatkan kenderaan elektrik adalah cabaran buat jabatan tersebut.

“Ini adalah yang pertama untuk Daerah Autauga.

“Kebakaran kenderaan elektrik adalah luar biasa dan memberikan cabaran serta bahaya yang unik kepada anggota bomba,” ujarnya.

Tambah bomba, kenderaan tersebut terbakar pada suhu melebihi 2500 darjah celcius.

“Kenderaan elektrik tersebut boleh menyala semula beberapa jam atau beberapa hari selepas kebakaran dipadamkan,” katanya.

Baca juga: Senang je nak matikan rumput di halaman rumah tanpa gunakan racun, 2 bahan ini sudah cukup