Satu perkongsian menyentuh hati mengenai bekas majisteret yang membantu pesalah dari keluarga miskin tular di laman TikTok baru-baru ini.
Difahamkan, remaja berusia 15 tahun itu dikenakan perintah tahanan reman setelah dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan mencuri.
Hal ini kerana keluarga remaja itu tidak mampu membayar jaminan yang ditetapkan oleh majistret kes tersebut, Aminahtul Mardiah Md Nor.
“Nak bayar sewa rumah pun saya tak mampu. Sekarang ni saya nak jual kuih, nak beli modal buat kuih pun tak ada duit,” kata ibu remaja itu.
Pada tarikh pembicaraan berikutnya, Aminahtul dapat merasakan remaja itu berada dalam kesakitan setelah dimasukkan ke penjara reman.
“Saya nampak dalam mulut dia pecah-pecah. Mungkinlah panas ke, gaduh ke. Saya tak tanya lebih lanjut. Hati saya tak sanggup,” katanya.
Bersimpati dengan kesempitan keluarga itu, majistret Aminahtul bertindak mengeluarkan wangnya sendiri bagi membayar jaminan.
Aminahtul kemudian meminta bantuan polis mahkamah untuk menyerahkan wang sebanyak RM700 kepada ibu remaja itu.
Setelah dijamin dan bon kelakuan baik dikeluarkan Aminahtul, ibu remaja itu ingin memulangkan semula wang tersebut.
Namun, majistret itu meminta wanita tersebut menyimpan wang bagi membayar sewa atau membeli barang keperluan.
“Sempena bulan Ramadhan ni, kita belajarlah bersyukur dan beringatlah ketika membeli makanan, ramai lagi orang susah sekeliling kita,” ulasnya.
Baca juga: Tak patut cikgu guna ayat macam tu, guru boleh salin & tampal templat ini untuk kumpulan WhatsApp