Lelaki kudung kaki kiri gigih cari rezeki, berhasrat beli mesin pembancuh tepung

Seorang lelaki kudung kaki kiri akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu gigih mencari rezeki dan berhasrat mahu mengumpul wang bagi menukar kerusi roda yang digunakannya kini.

Suhaimi Isnin, 50, kini menjual biskut dan kerepek di Melaka bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan bergerak menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Saya juga berhasrat mahu membeli mesin pembancuh tepung kerana mahu membuat biskut sendiri.

“Namun saya tahu dua impian ini akan mengambil masa yang lama untuk dicapai,” dipetik Harian Metro.

Menurutnya, dengan kos pengangkutan RM30 sehari, beliau menjual barang jualannya di perkarangan bank sekitar jalan Hang Tuah.

“Saya memulakan hari dengan keluar seawal jam 8 pagi dan hanya pulang ke rumah sewa di Bukit Katil, di sini, kira-kira jam 10 malam,” jelasnya.

Suhaimi yang masih bujang berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi selepas terbabit kemalangan perjalanan hidupnya berubah.

“Walaupun sukar bergerak dan sesekali kurang sihat, saya tetap keluar berniaga bagi menampung kehidupan dan tidak mempunyai pekerjaan lain,” katanya.

Menurutnya, biskut dan kerepek dijual pada harga RM20 hingga RM30 sebotol mendapat sambutan ramai.

“Saya bersyukur kerana orang ramai banyak memberi sokongan terhadap perniagaan kecil saya ini sehingga mampu bertahan sehingga kini.

“Saya akan terus berusaha walaupun kadang-kadang ada hari yang mencabar kerana terpaksa berpanas atau mengharungi hujan membawa barang jualan,” tambahnya lagi.

Baca juga Pendapatan rasmi Abdul Hadi tidak kurang RM764,000 setahun

Baca juga Wanita jumpa jodoh ketika raikan majlis penceraian sendiri