Malaysia Airline lancar penerbangan pertama guna bahan api mapan

Malaysia Airline lancar penerbangan pertama guna bahan api mapan. Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan penerbangan tersebut termasuk antara lain mengandungi minyak masak terpakai.

Penerbangan menggunakan SAF itu adalah pada pesawat Boeing 737-800, iaitu MH603 antara Kuala Lumpur – Singapura dan MH606 Singapura – Kuala Lumpur, yang mana menggunakan gabungan kira-kira 38 peratus SAF dan bahan api jet konvensional.

Berbanding dengan bahan api jet fosil konvensional, pilihan bahan api mapan ini, diperbuat daripada 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah seperti minyak masak terpakai, boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus.

Memetik Berita Harian, Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan MAG, Philip See, berkata MAG menyasarkan untuk menjadi perintis dalam penggunaan SAF yang dihasilkan oleh Neste untuk penerbangan di Malaysia.

Katanya, ia juga adalah sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Kami telah mengambil langkah proaktif dalam meminimumkan jejak karbon kami dari bawah melalui langkah yang diambil dalam operasi kami, termasuk program kecekapan bahan api seperti SAF.

“Dengan bermulanya penerbangan penumpang pertama kami menggunakan SAF, kami menggalakkan penumpang untuk menyertai kami dalam perjalanan ini sambil kumpulan mengambil langkah yang perlu untuk meminimumkan kesan alam sekitar.

“Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak penerbangan yang dikuasakan oleh SAF dan melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk menjadikan SAF pilihan tenaga yang lebih bersih dan berdaya maju untuk penerbangan tetap kami menjelang 2025,” katanya.

SAF dihasilkan oleh Neste, pengeluar SAF terbesar di dunia, bahan api itu dibekalkan melalui perjanjian pembekalan dengan PETCO Trading (UK) Ltd, yang juga adalah cabang pemasaran dan perdagangan PETRONAS yang berpangkalan di Eropah, manakala pengendalian produk dan pengisian minyak dijalankan PDB di KLIA.

Harga tiket penerbangan dikatakan tidak akan terjejas dengan penggunaan SAF ini biarpun kosnya adalah lebih tinggi berbanding menggunakan bahan api konvensional.

“Sebaliknya, harga tiket akan ditentukan oleh permintaan pasaran,” katanya.

Baca Juga: Wanita cetus kontroversi, kahwini diri sendiri

Baca Juga: Satu-satunya jenama terkemuka dunia yang menyokong Johnny Depp sejak awal