Malaysia mansuhkan hukuman mati mandatori terhadap 11 kesalahan. Kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara Mahkamah.
Menurut kenyataan media menteri di Jabatan Perdana Menteri, keputusan ini dilaksanakan setelah mencapai kata sepakat susulan pembentangan laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.
“Keputusan berkaitan perkara menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dala menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik”.
“Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori satu ( 1 ) kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [ Akta 234 ] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah,” kata Wan Junaidi.
Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti:
- Pewujudan prosedur pra penghukuman ( pre – sentencing procedure )
- Penubuhan Majlis Penghukuman ( Sentencing Council )
- Pembangunan Garis Panduan Penghukuman ( Sentencing Guideline )
- Penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang – Undang ( Law Commission )
- Pembaharuan institusi kepenjaraan ( Prison Reform )
- Pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice
“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian/ Jabatan berkepentingan,” katanya.
Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Y.Bhg Tun Richard Malanjum dan dianggotai:
- Bekas Hakim Besar Malaysia
- Bekas Peguam Cara Negara
- Pengamal Undang-Undang
- Pensyarah undang-Undang dari Institusi Pengajian Awam terkemuka
- Pakar kajian jenayah (criminologist)
Diharapkan dengan tertubuhnya Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dapat mengubah sistem keadilan jenayah negara kepada lebih sistematik dan efektif.
Baca Juga: Kerja 4 hari seminggu dan terima gaji penuh, UK mulakan projek perintis selama 6 bulan
Baca Juga: Tidak semangat keluar kerja? Ini 12 peribahasa Melayu jati lagi ‘rare’ pembangkit motivasi