Susulan penyebaran khabar angin mengenai perkahwinan usahawan popular, Mawar Karim, bekas suaminya, Fizo Omar enggan memberikan pengesahan atau penafian terhadap dakwaan tersebut.
Pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar enggan berspekulasi atau mengesahkan perkara yang berada di luar pengetahuannya, terutama kerana dia hanya memiliki status sebagai bekas suami.
Bagi Fizo, dia berpendapat lebih baik jika Mawar sendiri yang mengesahkan berita tersebut.
“Saya memang ada dengar khabar angin dia sudah mendirikan rumah tangga. Khabar angin itu datang daripada pelbagai individu.
“Bagaimanapun tentang kepastian berita itu perlu bertanyakan sendiri dengan tuan punya badan. Saya dan dia berhubung hanya mengenai anak sahaja.
“Selebihnya saya tidak berani nak bercakap lebih. Tidak sesuai untuk saya bercakap tentang hal itu kerana hanya bekas suami,” katanya.
Walaupun khabar angin itu tiada kebenarannya, bekas suami Mawar turut mendoakan bekas isterinya itu ditemukan dengan bahagia.
“Sekiranya betul dia sudah berkahwin, saya tumpang gembira dan bagus untuk dia. Itu akan jadi kelebihan kepada anak kami, Maryam sebab ada dua bapa dan dua ibu.
“Saya juga mendoakan dia bahagia dan gembira dengan pasangannya jika benar-benar sudah berkahwin.
“Bagi saya manusia ini diciptakan memang untuk berpasangan baik lelaki mahupun perempuan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Nasi Lemak Kopi O, disini, hari ini.