Mudah saja nak buat ‘baju baby’ terutama sos pencicah dan apa sahaja di dalam botol bagi mengelakkan botol meleleh dan seterusnya botol jadi comot.
Namun, kadang-kadang niat kita untuk menggunakan sos terbantut apabila melihat keadaan botol yang comot dengan lelehan sos.
Apabila memegang botol yang sudah comot, sudah tentu sisa-sisa sos ini akan terkena pada tangan dan kita berasa tidak selesa.
Selain itu, sos yang meleleh pada bahagian luar botol juga terdedah dengan persekitaran sebelum menjadi kering. Jadi, sedikit sebanyak kita merasa khuatir sama ada sos berkenaan masih selamat digunakan atau sudah tercemar.
Jika termakan pula, kita juga merasa bimbang sekiranya ia memberi kesan kepada kesihatan seperti boleh menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya.
Bagi mengatasi masalah leher botol sos menjadi comot, pencipta kandungan TikTok, Awang Dapur (@awangdapur) berkongsi dua tips yang berguna kepada pengikutnya.
Tip pertama – Buat ‘baju baby‘ pada leher botol
Pertama sekali, basuh permukaan botol jika terdapat kesan comot pada permukaan luar botol sos. Ambil pad kapas dan lipat beberapa kali sehingga menjadi kecil.
Kemudian, ambil bahagian bucu lipatan dan letakkan pada bahagian tengah mulut botol sos. Hal ini adalah untuk membantu kita membuat anggaran saiz mulut botol tadi pada lipatan tisu tadi.
Selepas membuat anggaran, potong tisu mengikut anggaran jejari pada muncung botol. Setelah selesai memotong tisu, ambil bahagian luaran sahaja.
Akhirnya, sarungkan tisu ‘baju baby‘ tadi pada muncung botol sos terbabit. Dengan ini, sos tidak akan terpalit pada keseluruhan badan botol.
Jika tisu tersebut sudah terlalu kotor dan comot, anda boleh melakukan langkah yang sama untuk menggantikan ‘baju baby’ pada bahagian tersebut.
Tip kedua – Memutarkan botol sos semasa menuangkan sos
Semasa menuangkan sos dari botol, pastikan anda memusingkan botol tersebut. Dengan ini lebihan sos tidak akan meleleh pada badan botol sos.
Dengan memutarkan botol sos, anda juga dapat memastikan semua sos dapat dituang pada tempat yang sepatutnya dan tidak membazir.