MySejahtera tidak lagi eksklusif untuk Covid-19 sahaja. Fungsi aplikasi MySejahtera akan ditambah baik dan diperluaskan kepada penyakit berjangkit selaras dengan peralihan negara ke fasa endemik.
Memetik Harian Metro, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, MySejahtera sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.
“Sebagai permulaan, fungsi sedia ada iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan kaki mulut (HFMD) serta denggi.
“Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menyeru rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik itu terutama ketika balik ke kampung atau ke rumah saudara mara sempena Aidilfitri ini atau pergi bercuti.
Ia akan menjadi langkah proaktif bagi memberi amaran kepada orang ramai daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi terutamanya kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi dan komorbiditi.
Beliau juga menggalakkan persatuan komuniti menggunakan fungsi untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit di kawasan kediaman masing-masing.
Beliau turut mencadangkan agar komuniti ini dapat bekerjasama dengan penduduk dalam aktiviti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan.
Baca Juga: Restoran tutup seminggu sebab Chef putus cinta
Baca Juga: Dakwaan Hari Raya diawalkan pada Isnin tidak benar