Nahas tiga kenderaan ragut tiga nyawa

Kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, malam tadi meragut tiga nyawa dan 4 orang turut tercedera dalam insiden tersebut.

Mereka yang maut ialah Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36 dan Zairulzaimy Jambi, 18.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia itu berlaku pada 8.50 malam lapor Harian Metro.

Katanya, siasatan awal mendapati treler bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.

“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke bawah cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

Baca Juga: Remaja parah langgar gajah berkeliaran di kawasan penduduk

Baca Juga: Gara-gara berselisihan faham, lelaki gilis teman wanita hingga mati