Padah tendang muka isteri akibat cemburu, lelaki bakal berdepan penjara 2 tahun

  • Post author:

Padah tendang muka isteri akibat cemburu, lelaki bakal berdepan penjara dua tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh hari ini. Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, Danial Dallas Abdullah, 41, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka lapor Utusan.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Julai 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Dakwa isteri curang

Difahamkan, tertuduh yang mendirikan rumah tangga selama 12 tahun melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya yang bekerja di sebuah kedai makan menjalinkan hubungan sulit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menanggung dua orang anak dengan gaji bulanan RM1,200.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.

Baca Juga: Padah keluarkan kata kesat kepada polis, pembantu kedai runcit ditahan

Baca Juga: Mengapa aksi pemandu, penumpang Myvi ini buat malu plat V?