Pasangan dera anak angkat sebab enggan makan nasi bakal didakwa. Tular sebelum ini mengenai seorang wanita yang memukul anak angkatnya dengan kayu penyapu kerana enggan makan nasi.
Pasangan ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, hari ini lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.
“Kami mendapat arahan tuduh lelaki warga Singapura berusia 30 tahun serta isterinya berusia 28 tahun yang juga warga tempatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Ia bagi kesalahan melakukan penganiayaan ke atas mangsa, seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lelaki warga Singapura itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Baca Juga: Ibu bapa kejam! Pukul anak angkat berusia 4 tahun guna penyapu sebab enggan makan nasi
Baca Juga: Tengku Hassanal ‘okay sahaja’ kongsi grafik Fahmi Reza, minta orang ramai jangan buat laporan polis