Pelajar 16 tahun langgar pemotong rumput sehingga maut, ibu bapa dipanggil polis. Pelajar yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput dan mengakibatkan seorang daripada mereka maut.
Memetik Astro Awani pihak polis mengesahkan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merupakan seorang pelajar berusia 16 tahun dan tiada lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
“Polis akan memanggil ibu bapa remaja terbabit bagi mengetahui bagaimana dia dapat memandu kenderaan itu tanpa pengawasan penjaga.
“Hasil siasatan mendapati remaja itu seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Zaidy identiti mangsa yang maut dikenalpasti Cinglowpa, 20, warganegara Myanmar.
Dalam kejadian jam 11 pagi Sabtu, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV.
Dalam kejadian itu, pemandu MPV terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh dua batang pokok sebelum merempuh dua mangsa yang sedang berehat di bahu jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Diharapkan ibu bapa memantau anak-anak yang di bawah umur daripada memandu kenderaan, jangan jadikan alasan sibuk hingga nyawa orang lain pula melayang disebabkan kesilapan anda.
Baca Juga: Wanita diraba di dalam bas, pemandu kedua bas ekspres ditahan
Baca Juga: Penjawat awam Indonesia boleh kerja dari rumah selama seminggu lepas Aidilfitri