Menurut perkongsian Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzma Lailaitam (Yatim dan Asnaf), seorang pelajar tahfiznya terpaksa melalui detik-detik menyedihkan tersebut kerana ahli keluarganya tiada yang dapat dihubungi.
Gambar kanak-kanak tersebut yang duduk sendirian di laman cukup mengundang simpati orang ramai hingga ada yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat.
“1001 cerita. Hanya Dia yang tahu cerita sebenar.
“Di saat kawan-kawan bercuti, hanya dia yang terpaksa tinggal.
“Terpaksa tinggal kerana tiada yang peduli,” tulis pengelola akaun Facebook pusat berkenaan.
Yang lebih menyedihkan, pelajar tersebut turut dikatakan bakal menyambut puasa dan raya sendirian di pusat pengajian itu tanpa keluarga.
“Dia bukan anak yatim piatu. Tapi ibu bapa dan penjaga tak dapat dikesan dan dihubungi.
“Kemungkinan puasa dan raya pun bersama ustaz yang menjaga tahfiz,” jelas pengendali akaun Facebook itu lagi.
Posting tersebut mengundang simpati dan sayu dalam kalangan netizen hingga ada yang membuat keputusan ingin membawa kanak-kanak tersebut ke rumah mereka.
“Boleh tahu siapa yang hantar ke tahfiz kemudian tiba-tiba famili dia tak datang. Allah… kesiannya. Saya pun ada anak lelaki usia 15 tahun duduk tahfiz.
“Semoga anak ni baik-baik saja. Insya-Allah, kuat orangnya,” komen salah seorang netizen.
Dalam pada itu, ramai dalam kalangan netizen turut menawarkan pelajar tersebut untuk bercuti dan beraya bersama-sama di rumah mereka.
“Boleh buat anak angkat tak? Kalau cuti balik rumah saya. Saya hanya ada seorang anak lelaki umur 16 tahun.
“Mari beraya di rumah dengan anak saya. Biar serba kekurangan pun tak apa. Janji dapat merasa beraya. Cakap je dekat ustaz dan ustazah nak beraya dengan siapa ya.