Sekeping gambar memaparkan pasangan suami isteri berbangsa Cina yang sedang menziarahi tanah perkuburan Islam telah berjaya menyita perhatian ramai.
Mana tidaknya, foto tersebut telah menimbulkan tanda tanya mengenai kisah sebenar di sebalik pasangan yang mengunjungi kubur itu meskipun berbeza agama.
Berjaya menyentuh hati orang ramai, pasangan yang berusia sekitar 70-an itu kelihatan begitu tertib mencuci segala kekotoran pada batu nisan kubur tersebut.
Tular di media sosial, gambar tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Joy Mama Nunai menerusi satu hantaran tular di platform berkenaan.
Joy melalui hantaran tersebut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri itu sempat bertafakur beberapa minit sebelum memandang ke arahnya dengan senyuman.
Melihat keramahan yang ditampilkan oleh kedua pasangan tersebut, Joy kemudian memberanikan diri untuk mendapatkan kepastian mengenai pemilik kubur tersebut.
Rupa-rupanya kubur tersebut dimiliki oleh anak lelaki pasangan itu yang memeluk Islam selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita berbangsa Melayu.
“Pasangan tersebut mengiyakan. Anak lelaki mereka masuk Islam selepas berkahwin dengan orang Melayu. Dia sakit kanser otak. Meninggal pada empat tahun lalu.
“Mereka kata selalu datang (ziarah kubur) sini. Gugur juga air mata bila mendengar cerita tersebut. Demi kasih ayah dan ibu pada anaknya.
“Walaupun anaknya sudah berpindah agama namun kasih mereka tiada berpenghujung,” kata Joy menerusi hantaran tular di akaun Facebook miliknya.
Mendapat pengajaran daripada kisah tersebut, Joy membuat keputusan untuk bercerita semula pengalamannya di laman Facebook untuk dijadikan teladan.
“Satu pengajaran pada kami hari ini. Kasih pada anak tanpa syarat. Al-fatihah buat arwah anak kepada pasangan Cina itu.” Tulis Joy di catatan yang sama.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengagumi sikap bertoleransi dan kasih sayang yang ditonjolkan oleh pasangan berkenaan.
Ramai juga pengguna Facebook tampil mendoakan agar kedua ibu bapa tersebut diberikan hidayah untuk memeluk agama yang sama dengan anak mereka.
“Semoga mereka mendapat Hidayah seperti anak mereka, Amin. Al-Fatihah buat insan yang telah pergi sebelum kita,” kongsi seorang pengguna yang terharu.
“Hakikatnya begitulah. Walaupun sudah bertukar agama, kasih ibu bapa tidak putus. Jangan jadikan agama sebagai penghalang atau pemutus silaturahim.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Dianggap penceroboh, 186 ‘tauke’ Musang King Pahang diarah kosongkan tanah