Peluk rakan sampai patah tulang rusuk, lelaki diarah bayar RM6,591 sebagai pampasan

Adegan peluk di antara rakan ini adalah normal buat semua namun jika sampai mendatangkan kecederaan itu bukanlah peluk lagi. Seorang lelaki diarah membayar pampasan kerana menyebabkan rakan sekerjanya patah tiga tulang rusuk.

Lelaki tersebut diarahkan untuk membayar 10,000 yuan bersamaan dengan RM6,591 oleh Mahkamah Yunxi selepas menyebabkan kecederaan kepada rakan wanita sekerjanya.

Lapor Odditycentral, hakim menjatuhkan hukuman itu setelah mahkamah mendapati tiada bukti kukuh wanita itu menyertai aktiviti yang menyebabkan tulang rusuknya patah.

“Selain itu, terdapat testimoni rakan sekerja yang mengimbau reaksi pedih wanita itu selepas pelukan,” katanya.

Wanita berasal dari bandar Yueyang itu memfailkan tindakan undang-undang dan mengheret rakannya ke mahkamah akibat memeluknya terlalu kuat sehingga menyebabkan tiga tulang rusuknya patah.

Wanita bertindak selaku plaintif itu dilaporkan bersembang dengan rakannya di tempat kerja dan ‘kejadian pelik’ itu dilaporkan bermula pada Mei 2021.

Difahamkan, lelaki tersebut kemudian datang dan menyapanya dengan pelukan sehingga menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Lelaki itu memeluknya dengan kuat sehingga dia terus berasa sakit di dada, walaupun selepas meninggalkan pejabat. Tetapi, dia tidak mendapatkan bantuan perubatan segera dan sebaliknya lebih suka menyapu sedikit minyak panas di dada sebelum tidur.

“Lima hari selepas pelukan yang sangat erat itu, wanita itu berasa sakit sangat kuat di bahagian dada dan akhirnya memutuskan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

“Ujian X-ray mendapati tiga tulang rusuknya patah iaitu dua di sebelah kanan dan satu sebelah kiri. Dia terpaksa mengambil cuti sehingga menyebabkannya hilang pendapatan dan membelanjakan sejumlah besar wang untuk bil perubatan serta khidmat jururawat,” kata laporan itu.

Baca Juga: ‘Terima kasih mat motor, nak tolak stroller bayi, kerusi roda pun payah’

Baca Juga: Ngeri! Terbakar selepas berlanggar, wanita rentung ditemui dalam kereta