Setiap kali singgah ke kedai gunting atau salun rambut, anda perasan tak tiang lampu putar berwarna merah, putih dan biru yang dipamerkan dekat luar kedai?
Lampu ini digunakan oleh kebanyakkan tukang gunting rambut sebagai penanda kewujudan premis mereka di kawasan itu.
Meskipun ada yang percaya bahawa gabungan tiga warna tersebut memberi maksud patriotik, namun ada sejarah disebalik warna itu.
Tukang gunting rambut atau perkhidmatan ini sudah pun wujud sejak zaman pertengahan lagi. Ketika itu, selain dari menggunting rambut, pembedahan kecil, mencabut gigi dan aktiviti menyedut darah atau pembekaman juga boleh dilakukan.
Sebelum itu, terdapat satu cara merawat penyakit yang sudah diharamkan pada masa kini. Ianya dinamakan “bloodletting” dimana tukang rawat akan membuat sedikit torehan pada kulit bagi membolehkan darah (yang dipercayai kotor dan penyebab utama penyakit) keluar, seterusnya dapat mengubati pesakit.
Pada waktu itu, tugas rawatan ini dilakukan oleh paderi dan paderi yang melakukan prosedur bloodletting ini biasanya akan mendapatkan bantuan daripada seorang tukang gunting rambut kerana kepakaran mereka mengendalikan peralatan tajam seperti pisau.
Keadaan ini berubah apabila pada tahun 1163 Pope Alexander III telah mengharamkan paderi daripada melakukan prosedur bloodletting ini.
Tidak dapat dipastikan apakah rasionalnya disebalik pengharaman ini. Keadaan ini telah menyebabkan tugas bloodletting ini diambil alih sepenuhnya oleh seorang tukang gunting rambut.
Selain bloodletting, seorang tukang gunting rambut pada waktu tersebut juga melakukan pelbagai prosedur perubatan lain antaranya mencabut gigi, merawat luka dan sebagainya.
Seorang tukang rambut ketika itu umpama seorang doktor. Malah, Ambroise Pare dari Perancis yang dianggap sebagai Bapa Perubatan Moden pada abad ke 16 juga dikatakan memulakan kariernya sebagai seorang tukang gunting rambut.
Maka lebih mudahlah untuk memahami maksud sebenar lampu yang menjadi identiti kedai gunting rambut ini. Lampu ini dikatakan berrkait rapat dengan prosedur bloodletting yang dilakukan seorang tukang gunting rambut dahulu.
Menurut sejarah, ketika proses bekam, pesakit di minta untuk memegang sebatang kayu bagi mengekalkan posisi lengan. Tukang gunting kemudiannya akan menyerap darah menggunakan kain pembalut putih serta dililit pada kayu itu sebelum dijemur di depan klinik mereka.
Setiap lampu belang tiga warna ini sebenarnya mempunyai maksudnya tersendiri.
Lama-kelamaan, situasi ini menjadi kebiasaan sehingga menimbulkan rasa jijik dalam kalangan pelanggan. Maka, pembalut yang digantung itu ditukar dengan tiang putih yang di cat dengan warna merah dan biru.
Merah pada lampu itu merujuk kepada darah. Manakala, putih merujuk kepada warna pembalut dan biru pula menggambarkan urat atau pembuluh vena iaitu tempat darah disedut.
Sehingga kini, model tiang ini masih lagi digunakan di serata dunia.
Sekiranya anda nampak tiang lampu ini berputar, ia bermaksud kedai guntng rambut itu beroperasi, demikian sebaliknya jika berhenti berputar bererti tutup.
Menarik bukan? Siapa sangka lampu yang menjadi identiti kedai gunting rambut ini mempunyai sejarahnya yang sangat unik.