Seorang pelajar genius di China yang sebelum ini menarik perhatian kerana berjaya masuk universiti pada usia 10 tahun, kini meneruskan kehidupan sebagai penganggur dan tinggal di apartmen yang disediakan oleh ibu bapanya.
Zhang Xinyang, yang kini berusia 28 tahun, telah memulakan pembelajaran lebih dari 1,000 karakter bahasa China pada usia dua setengah tahun. Pada usia empat tahun, beliau telah memulakan pengajian di sekolah rendah.
Zhang Xinyang meneruskan kecemerlangannya di sekolah sehingga berjaya diterima masuk ke Universiti Teknologi dan Pendidikan Tianjin pada usia 10 tahun, menjadikannya pelajar universiti termuda di China.
Namun, semasa mengejar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing, Xinyang sekali lagi menarik perhatian media tempatan apabila memberikan syarat kepada ibu bapanya. Beliau menyatakan akan terus melanjutkan pelajarannya jika ibu bapanya membelikannya sebuah apartmen.
“Ibu bapa mahu saya terus menetap di Beijing. Jika saya tiada rumah di situ saya akan menjadi sama seperti penduduk Beijing lain.
“Jika saya sama seperti orang lain, mengapa ibu dan bapa menyuruh saya mendapatkan PhD? Mereka perlu bertanggungjawab menyediakan persekitaran kehidupan yang selesa untuk saya,” katanya.
Walaupun sukar untuk memenuhi permintaan Xinyang, ibu bapanya enggan melihat anak mereka berhenti belajar. Oleh itu, mereka memutuskan untuk menyewakan sebuah apartmen untuk diduduki oleh anak lelaki mereka.
Kini, pada usia 28 tahun, Xinyang masih tinggal di apartmen tersebut tanpa mengeluarkan wang walau sesen, serta tidak bekerja dan hanya duduk di rumah.