Pernah menggemparkan dunia dengan pembelian Lotus secara tunai, Tan Sri Yahaya Ahmad menjadi nama yang sangat dikenal pada tahun 90-an. Beliau yang turut menjawat jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan DRB-Hicom terkenal dengan sikap rendah hatinya.
Tan Sri Yahaya juga merupakan salah seorang usahawan dan tokoh korporat Bumiputera yang berjaya diangkat semasa zaman kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Bawa motor kapcai
Semasa hidupnya, Tan Sri Yahaya Ahmad memimpin Kumpulan DRB-Hicom di mana banyak perniagaan dijalankan di bawah jaringan DRB termasuk Proton, Alam Flora, Intrakota, dan banyak lagi.
Beliau sangat diingati atas kesungguhannya dalam menyelesaikan masalah rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatan.
Tanpa mengutamakan protokol, sikap merendah dirinya lebih terserlah saat beliau menunggang motosikal kapcainya sendiri, menerobos kesibukan lalu lintas di sekitar Kuala Lumpur, tanpa mengira waktu, baik awal pagi sebelum matahari terbit atau di tengah panas terik siang hari.
Pada 3 Mac 1997, Tan Sri Yahaya Ahmad disahkan terbunuh dalam sebuah kemalangan helikopter yang terhempas di sebuah kampung di Kuala Lipis, Pahang. Beliau yang pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar sangat disayangi oleh orang ramai. Malahan berita kematian beliau sangat mengejutkan orang ramai.
Pada ketika kejadian tersebut, Tan Sri Yahaya Ahmad berada bersama isterinya, Puan Sri Rohana Othman yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu untuk menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat.
Mereka menaiki helikopter jenis Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat DRB-Hicom yang diketuai oleh juruterbang Mejar (B) Azlizan Abdul Manas. Pesawat yang baru dibeli tersebut juga merupakan model tercanggih yang pernah dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.
Pesawat Agusta-109E, yang dilengkapi dengan 6 tempat duduk, dipercayai terjunam dari ketinggian 2,900 meter ke celah-celah pokok getah di Kuala Lipis.
Ketika berada dalam penerbangan, enjin helikopter tersebut dilaporkan tidak berfungsi seperti biasa hingga turut menyebabkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang. Ia turut memberikan tekanan yang tidak diingini pada struktur kipas.
Dua kali letupan
Ketidakseimbangan tersebut mengakibatkan patahnya kipas helikopter, dan hasil siasatan awal menunjukkan bahawa kipas utama helikopter itu telah patah sebelum helikopter terhempas.
Penduduk kampung berhampiran melaporkan mendengar dua letupan – satu di udara dan satu lagi di lokasi terhempasnya pesawat. Dengan mengambil kira keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai terhempas tanpa kipas utama, disebabkan tiada kesan kipas pada pokok-pokok di sekitar kawasan tersebut.
Mayat mereka ditemui di bawah serpihan helikopter itu kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas. Selain itu, pasukan penyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan. Tiga kipas helikopter juga ditemui di tiga lokasi yang berbeza, sementara satu bahagian helikopter ditemui oleh penduduk kampung beberapa hari kemudian.
Allahyarham Tan Sri Yahaya, isterinya dan juruterbang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lipis sekitar jam 5.20 pagi untuk menjalani proses bedah siasat sebelum dihantar ke Marang, Kuala Terengganu.
Jenazah mereka kemudian diterbangkan menggunakan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada keesokan harinya, jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu untuk dikebumikan.