Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong seharusnya mempertimbangkan untuk memberikan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Namun, beliau menegaskan hanya memberi cadangan jika diminta oleh Seri Paduka Baginda.
“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, ‘Tuanku, lalui proses itu’,” katanya ketika wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa.
Sebelum ini, Najib, yang berusia 70 tahun, telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, menentang kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan dari Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa beliau akan menyerahkan afidavit untuk menyokong permohonan Najib dalam mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pihak perlu memberi fokus terhadap prosiding kes berkenaan yang sedang berjalan berbanding isu tahanan rumah.
“Akhirnya Agong yang akan membuat keputusan.
“Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong,” katanya.
Baca juga: Atlet kayak Malaysia cedera parah, motosikal diseret 600 meter pemandu mabuk