Potong elektrik lima premis boleh dikatakan langkah terakhir yang boleh dilakukan. Premis ini dikatakan masih menjalankan aktivititi perjudian dalam talian dengan berselindung di sebalik penjualan barangan telekomunikasi.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, hasil risikan pihaknya mengesan kegiatan itu dan menggerakkan Op Bersepadu Elektrik, hari ini yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Lim Meng Seah.
Katanya, 28 pegawai dan anggota terbabit operasi di Semabok Perdana 2, Kandang dan Alai bersama 15 pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), lapor Harian Metro.
“Pemotongan elektrik bertujuan mengelakkan premis berkenaan aktif semula dan terus menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
“Hasil siasatan kita dapati kesemua premis pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun pemiliknya masih berdegil dan terus beroperasi dengan berselindung di sebalik perniagaan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.
Zainol berkata, sejak Januari lalu, 100 premis menjalani pemotongan elektrik kerana menjalankan aktiviti haram itu.
Katanya, daripada jumlah itu, 65 premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (17) dan Jasin (18).
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001),” katanya yang memberitahu Polis Melaka turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat laman sesawang perjudian.
Baca Juga: 2 hari meluncur di jalan raya, Perodua Alza jadi idaman terlibat kemalangan
Baca Juga: Ribuan tin sardin bertaburan di jalan, treler bawa tin sardin terbalik