Pusat Kargo KLIA kecoh! Terima ancaman bom dalam bungkusan

Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tiba-tiba gempar apabila mesin pengimbas mengesan sebuah bungkusan yang mempunyai tulisan ‘bom’.

Kira-kira pada pukul 1.30 tengah hari itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerima panggilan kecemasan dari seorang pengadu yang melaporkan bahawa mesin pengimbas mereka telah mengesan sebuah bungkusan yang tertera dengan tulisan ancaman berisi bom.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at, menyatakan bahawa semasa diimbas, bungkusan itu dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar.

Beliau memberitahu bahawa semakan petugas juga menemui, terdapat tulisan bertulis ‘AWAS JANGAN BUANG, BOLEH MELETUP’ pada bungkusan tersebut dan ia ditujukan kepada seseorang di Limbang, Sarawak.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat pengesanan anjing pengesan K9 dan didapati negatif adanya bahan letupan.

“Begitupun kerana ayat ancaman yang tertulis pada bungkusan tersebut, Unit Pemusnah Bom PDRM telah mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) menggunakan ‘Whell Barrow Mk 8 Plus Il’ dan satu butir ‘Cartridges L2 A1’.

“Kami telah melakukan tembakan menggunakan ‘pigstick’ yg dipasang pada mesin robotik namun, tiada sebarang letupan berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, selepas prosedur pemeriksaan dilakukan, ditemui bahawa bungkusan tersebut mengandungi sebuah komputer riba dan pengecas.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan ugutan jenayah. 

Baca juga: “Bertahun suami duduk rumah sebab memilih kerja, bila aku dapat bonus RM1300 dia sedap je mintak belikan pancing baru”