Rakyat Malaysia kerja di Singapura dan Brunei terima gaji RM65K sebulan

Menurut laporan kajian yang diterbitkan baru-baru ini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei ditemui berada pada tahap yang mewah, dengan beberapa individu mampu meraih pendapatan sehingga RM64,000 sebulan.

Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, menjelaskan bahawa sekitar 66.7 peratus tenaga kerja Malaysia di Singapura menerima gaji kasar di antara SGD1,500 (~RM5,330) hingga SGD3,599 (~RM12,780) sebulan, sementara 18.5 peratus mendapat gaji antara SGD3,600 (~RM12,800) hingga SGD9,999 (~RM35,530).

Bagi mereka yang bekerja di Brunei, 41.3 peratus menerima gaji bulanan antara BND1,000 (~RM3,550) hingga BND3,000 (~RM10,660), manakala 43.5 peratus lagi mendapat pendapatan sekitar BND3,001 (RM10,670) hingga BND10,000 (~RM35,550).

Mohd. Uzir turut menyatakan bahawa terdapat juga rakyat Malaysia yang menerima gaji melebihi RM35,000 sebulan. Gaji tertinggi yang direkodkan adalah SGD18,000 (~RM64,000) di Singapura dan BND15,000 (~RM53,300) di Brunei.

Analisis juga menunjukkan bahawa lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang bekerja dengan kelulusan SPM atau setara menjalani pekerjaan mahir dan separa mahir di kedua-dua negara tersebut. Bagi mereka yang memiliki kelulusan sarjana muda dan bekerja sebagai pekerja mahir, majoritinya berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Mohd. Uzir juga menyatakan bahawa majoriti pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei merancang untuk terus berkhidmat di negara tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa kecenderungan rakyat Malaysia yang bekerja di Brunei untuk berhijrah lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja di Singapura.

Antara faktor utama yang mendorong rakyat Malaysia untuk bekerja di Singapura atau Brunei adalah peluang pekerjaan yang baik, gaji yang lumayan, serta nilai tukar mata wang yang tinggi bagi SGD dan BND.

Oleh itu, adalah tidak menghairankan jika kita sering mendengar kisah warga Malaysia yang bekerja di Singapura mampu membeli rumah atau kereta secara tunai di sana dan ada yang mampu memiliki simpanan berjumlah jutaan ringgit.

baca: Buat penggemar ‘fast food’, ini nasihat Dr Zaidul Akbar tentang makna hidup sihat yang wajib anda tahu