Remaja 14 tahun tergamak tikam ibu hingga parah. Mangsa ditikam dengan pisau ketika sedang tidur di rumah dekat Bukit Yong Selasa lalu.
Dalam kejadian 11.45 malam itu, mangsa berusia 41 tahun ditikam di dada dan kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Memetik Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, ketika kejadian mangsa tidur bersama suspek di dalam bilik sebelum tiba-tiba merasa sakit dada.
“Dia nampak pisau tertusuk dan memanggil suami yang tidur di ruang tamu. Mangsa bertindak mengeluarkan pisau itu sendiri sebelum tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya dan doktor memaklumkan kesan tikaman itu mengakibatkan paru-paru mangsa bocor.
“Dia dirujuk ke HUSM, susulan kehilangan darah yang banyak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Nor Yhazid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa ditikam suspek menggunakan pisau yang diambil dari dapur.
“Suspek dikatakan demam sejak dua hari lalu dan dipantau mangsa. Suspek adalah anak ketiga dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh.
“Susulan kejadian, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya yang motif kejadian masih dalam siasatan.
Baca Juga: Lelaki dikehendaki mati selepas ditembak lapan kali di depan restoran
Baca Juga: KKM nafi dakwaan kanak-kanak dijangkiti cacar monyet, tiada sebarang laporan diterima