Remaja dipukul kerana enggan sertai kumpulan kongsi gelap. Pelajar dari sekolah menengah di Iskandar Puteri, Johor, cedera selepas dipukul enam suspek.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian berlaku pada 2 petang di depan sekolah mangsa selepas enam suspek tidak dikenali mendekatinya.
Menurut laporan FMT, siasatan awal mendapati, mangsa didatangi enam suspek berusia 17 hingga 18 tahun mengajaknya menyertai kumpulan kongsi gelap.
“Mangsa menolak pelawaan itu menyebabkan dia dipukul sekumpulan remaja berkenaan sehingga cedera di bibir, pipi dan dahi,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu polis menahan seorang suspek berusia 18 tahun, kira-kira 12.15 tengah malam tadi di kediamannya di Iskandar Puteri.
Suspek dikatakan mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama rakan lain.
“Polis meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil memberi keterangan berkaitan kes pukul tersebut.
“Kita tidak akan berkompromi dengan perilaku jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Baca Juga: Remaja pengsan di sekolah dedah kisah hitam dirogol bapa kandung