Sihir dan mantera memang tidak asing dalam kalangan masyarakat kita. Masih ada yang mengamalkannya sehingga ke hari ini meskipun amalan jelas berdosa besar dalam agama Islam.
Sudah biasa kita dengar dalam kalangan komuniti peniaga tentang pelaris dan ibu duit yang digunakan untuk meningkatkan jualan mahupun menarik lebih ramai pelanggan agar datang ke kedai masing-masing.
Walaupun ia adalah amalan kurafat, masih ramai yang mempercayainya malah sanggup ‘menconteng’ wang dengan mentera tertentu yang diterima daripada pelanggan pertama semasa awal perniagaan kononnya sebagai ‘magnet rezeki’.
Baru-baru ini tular video di TikTok tentang penemuan sekeping wang kertas bernilai RM10 dipercayai dijadikan ibu duit digunakan seseorang untuk membeli makanan.
Seperti perkongsian seorang wanita bernama Zulaika yang bekerja sebagai penghantar makanan, wang kertas berkenaan dipenuhi tulisan tangan menggunakan pen berdakwat biru. Ia ditulis dengan perkataan berikut:
“21.3.2001, pukul 13.23. Saya Sarifah Aloyah Hassan hari ini memberikan komitmen saya untuk menguruskan kamu dengan baik dan saya berjanji akan menggunakan kamu dan kawan-kawan kamu.
“Untuk kebahagiaan saya, kesihatan saya, kekayaan saya, kejayaan dan untuk mendapatkan keberkatan dengan membantu orang lain yang memerlukannya.
“Dengan ini saya mengarahkan kamu untuk memanggil kawan-kawan kamu datang kepada saya Sarifah Aloyah Binti Hassan,” demikian coretan pada wang berkenaan.
Menurut Zulaika, dia menerima wang berkenaan daripada seorang pelanggan yang membuat bayaran secara tunai semasa penghantaran (COD).
Umat Islam dilarang meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris untuk menarik pelanggan.
Perkongsiannya Zulaika mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata seperti mengetahui maksud di sebalik wang dipenuhi tulisan berkenaan.
Tidak kurang juga yang menyatakan ‘mantera’ yang tertulis itu boleh menyebabkan orang lain terkena sihir.
Sebagai peringatan bersama, umat Islam dilarang meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris untuk menarik pelanggan.
Seperti yang dihuraikan secara panjang lebar menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan itu termasuk dalam perkara-perkara khurafat dan boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT.